Friday, April 06, 2012

Minda: Berlagak Bani Israil

Oleh Fathul Bari Mat Jahya

“PELANDUK mudah melupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan
pelanduk.” Begitulah sikap sebahagian orang Islam yang sering lupa akan angkara
Yahudi yang dilaknat Allah.

Kita memang mengetahui beberapa taktik dan helah Barat dan media Yahudinya
untuk memburuk-burukkan Islam. Satu daripada strategi mereka ialah merubah
gelaran Islam yang asal kepada label yang membawa konotasi buruk dan negatif.

Hal ini tidak berhenti di situ saja. Barat dan media Yahudi mereka juga
berusaha untuk memutar perangai buruk mereka yang digambarkan oleh Allah dalam
al-Quran dengan menyandarkan kelompok mereka kepada istilah dan gelar yang
baik-baik. Satu contoh yang sangat ketara ialah apabila kelompok Yahudi yang
merampas tanah umat Islam di Palestin. Israel dianggap menjaga keamanan manakala
rakyat Palestin dituduh pengganas. Pencabul hak asasi dan perampas tanah
negara itu dengan megahnya menyandarkan diri mereka dengan nama Israel. Walhal
al-Quran menyebutkan begitu banyak keistimewaan dan keutamaan Bani Israil.
Mereka, yakni orang-orang Yahudi sedar bahawa al-Quran tidak menceritakan
kecuali yang baik-baik saja mengenai Bani Israil.

Perkataan ‘Israil’ adalah susunan dua kata israa dan iil. Israa dalam
bahasa Arab ertinya ‘abdun (hamba), sedangkan iil ertinya Allah, sehingga Israil
dalam bahasa Arab ertinya ‘Abdullah (hamba Allah). (lihat Tafsir At Thabari dan
Al Kasyaf ketika menjelaskan tafsir surat Al Baqarah ayat 40)

Satu hal yang perlu disedari, penamaan negeri Yahudi dengan Israel,
adalah salah satu di antara sekian banyak konspirasi Yahudi terhadap dunia.

Mereka tutup kehinaan nama asal mereka Yahudi dengan nama bapa mereka yang mulia
Nabi Israil (Nabi Yaakub) ‘alaihis salam. Syaikh Abdullah bin Zaid Alu
Mahmud memiliki sebuah risalah yang berjudul Al-Ishlahu wat-Ta’dilu Fiima
Thara-a Ala Ismil Yahudi wan Nashara Minat Tabdil. Di dalam kitab berkenaan
terdapat penjelasan bahawa Yahudi terlepas daripada Bani Israil. Yakni
sebagaimana terpisahnya Nabi Ibrahim daripada bapanya, Azar. Kekufuran itu
memutuskan pertalian antara kaum Muslimin dengan orang kafir, sebagaimana
diceritakan dalam kisah antara Nabi Nuh dengan anaknya. (lihat: Mu’jam Manahil
Lafzhiyah, Darul Ashimah, Cet 3, 1413H ms 93-94)

Oleh kerana itu, keutamaan yang pernah dimiliki Bani Israil pada zaman dahulu, sedikitpun tidak
ada yang dimiliki kaum Yahudi. Oleh itu, penyematan nama Israel untuk menyebut
kaum Yahudi, akan menjadikan mereka meraih keistimewaan, dan keburukan mereka
pun tertutup. Ini mengakibatkan hilangnya perbezaan antara Bani Israil dengan
Yahudi sebagai kaum yang dimurkai dan dihina oleh Allah.

Jadi sesungguhnya, Yahudi adalah nama bagi orang-orang yang tidak beriman kepada Nabi
Musa. Adapun yang beriman, mereka itulah yang disebut Bani Israil. Kerana itu,
orang-orang Yahudi berasa tidak selesa disebut dengan nama Yahudi!

Haram Bersekongkol dan Menyokong Yahudi

“Sesungguhnya Yahudi dan Kristian tidak akan reda dengan kamu selama-lamanya sehinggalah kamu menurut cara hidup mereka. Katakanlah ‘sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar’.

Dan sesungguhnya jika kamu memilih untuk mengikuti kemahuan
Yahudi dan Kristian ini selepas datang kepada kamu ‘ilmu (al-Quran), maka Allah
tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Lantaran itulah kita lihat sikap dan usaha pihak Yahudi dan Nasrani yang
dilihat sangat degil, keras kepala dan berhati batu terhadap umat Islam. Walhal
Allah awal-awal lagi sudah memperincikan sikap dan tabiat mereka.

Justeru dalam sebuah hadis yang sahih Nabi menjelaskan bahawa umat Islam
akan tunduk dan patuh mengikut telunjuk Yahudi dan Nasrani. Daripada Abu Sa’id
al-Khudri r.a, Nabi bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum
kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk
ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya
Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi menjawab,
“Siapa lagi kalau bukan mereka?” (riwayat Muslim)

Hadis ini mengesahkan realiti yang berlaku hari ini. Umat Islam dan sebilangan pemimpin politik di kalangan orang Islam begitu mudah mengikut rentak orang Yahudi dan Nasrani.

Ketua Pembangkang seperti dilaporkan Wall Street Journal, 26 Januari
lalu berkata “I support all efforts to protect the security of the state of
Israel.” Dalam reaksinya kemudian beliau menyatakan sokongan kepada ‘two-state
solution’. Seperti slogan seks bebas yang diganti dengan Seksualiti
Merdeka, terma ‘two-state solution’ sebenarnya membawa maksud mengiktiraf negara
haram Yahudi yang dinamakan sebagai Israel. Pihak yang terbabit sebenarnya sudah
larut terjebak dalam permainan Yahudi memutarkan istilah, gelaran dan label.

Sikap yang benar bagi seorang Muslim ialah tetap berhati-hati dengan
kaum yang dimurkai oleh Allah ini. Sikap hati-hati ini jelas, walaupun secara
zahirnya seperti orang Yahudi ini mahu mengembalikan hak kepada penduduk
Palestin dan tidak mahu menyerang lagi. Ini tidak bermakna kita boleh sokong.

Bahkan ia bertentangan dengan apa yang diwasiatkan Nabi untuk sentiasa
menyelisihi mereka. Bukan saja orang Yahudi perlu menghentikan serangan
dan memberikan semula hak penduduk Palestin. Sedangkan mereka masih menduduki
tanah yang mereka rampas sebelum ini. Waima Yahudi menghentikan serangan,
sebenarnya mereka masih melakukan kezaliman kerana merampas tanah milik penduduk
Palestin. Kalaupun mereka bertindak memulangkan tanah dan negara
Palestin yang dirampas, itu tidak menunjukkan kita umat Islam boleh duduk
bersama dan bersekongkol dengan Yahudi.

Sebagai mau’izah atau peringatan buat mereka yang sering lupa, elok kita renungkan firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah, sesungguhnya mereka berputus asa terhadap negeri akhirat sebagaimana
orang-orang kafir yang berada dalam kubur berputus asa.” (Al-Mumtahanah, ayat
13)
Ayat ini mengisyaratkan bahawa Allah melarang kaum Muslimin untuk
patuh dan taat kepada Yahudi dan Nasrani. Sebab, mereka adalah kaum yang
dimurkai oleh Allah seperti yang dijelaskan oleh ulama tafsir dalam tafsir Surah
al-Fatihah. Dan kemurkaan Allah kepada mereka disebabkan mereka
mengetahui kebenaran, tetapi kemudian mereka mengingkarinya. Mereka juga
memahami larangan Allah, tetapi terus melanggarnya. Mereka mengenali petunjuk
Allah, tetapi lantas meninggalkannya. Ironinya lagi, mereka ini justeru
cenderung kepada kesesatan. Itulah hal-hal yang menyebabkan Allah amat membenci
mereka.

Syaikh Abu Bakar Jabir al-Jazairi ketika mengingatkan makar dan
kejahatan Yahudi menuliskan: “Waspadalah terhadap mereka! Sebab mereka sentiasa
berupaya menjadikan perbuatan batil dan kekufuran itu terlihat samar dan indah
di pandangan kalian. Mereka juga tidak pernah berhenti berusaha mengiring kita
agar memandang hukum, ibadah dan akhlak Islam itu sebagai kuno, ketinggalan
zaman, dan bertentangan dengan demokrasi dan hak asasi manusia. Bahkan, mereka
tidak akan pernah berhenti memperdaya umat Islam agar berfikiran bahawa ajaran
Islam itu menghambat kemajuan peradaban, tidak lagi relevan dengan realiti
semasa, dan bahawa Islam hanya akan membawa pemeluknya terperuk dalam
kemunduran.” (lihat: Nida’atu ar-Rahman li Ahli al-Iman, Syaikh Abu Bakar Jabir
al-Jazairi, Darus Salam, Kaherah, cet-2, 2004).

Maka janganlah kita terpedaya dengan dakyah Yahudi yang sering memberi tekanan kepada dunia Islam agar kita menuruti mereka dengan meninggalkan ajaran Islam bagi mencapai
kemajuan. Apakah kita masih mahu memberi muka kepada Yahudi ketika Nabi
membenci mereka?

Penulis berkelulusan dalam bidang hadis di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah Timbalan Pengerusi
Sekretariat Ulama Muda Malaysia